Tarian Tradisional Negeri Johor
Tarian Zapin
Video Tarian Zapin
Salah satu bentuk tarian pergaulan masyarakat Melayu yang masih utuh dan popular dewasa ini ialah tari zapin. Di Johor zapin yang dikenali dalam dua bentuk iaitu Zapin Melayu dan Zapin Arab memperlihatkan perbezaaan dari segi unsur peradaptasiannya. Pada realiti kedua-duanya genre zapin itu berasal dari satu keseniaan masyarakat Arab yang di bawa Hadramaut. Keunikan tradisi Zapin Melayu terletak bukan sahaja pada kesatuan muzik dan peralatannya yang dipengaruhi oleh keseniaan Arab bahkan juga pada sifat segretasi penari dan penonton. Dalam konteks inilah keunikan tarian zapin begitu terserlah terutamanya pada ciri penghubungannya dengan keseniaan Islam yang dibawa oleh orang-orang Arab. Di Johor Tarian Zapin yang sudah diterima sebagai seni yang berunsur Islam yang berfungsi sebagai hiburan sama ada pada acara-acara sekular mahupun acara sambutan hari-hari kebesaran. Namun dari segi kelembutan dan kehalusan tradisi tarian itu sendiri, Zapin Melayu Johor walaupun ianya lahir dari adaptasi yang dilakukan ke atas Zapin Arab secara selektif namun tidak dapat disangkal lagi tarian zapin ini memperlihatkan lebih kehalusan dan keayuan geraknya dari Tarian Zapin Arab.
Satu hal yang menarik mengenai tarian Zapin Johor ialah keupayaan mewujudkan rasa persaudaraan penari dan pemuzik serta sifat esprik decorps yang dapat dimunculkan di kalangan mereka sekali gus mematahkan rasa malu penari-penari apabila menari di khalayak ramai. Secara simbolik gerak tari zapin ini menampakkan kepentingan usaha bersama dan bukannya usaha individu disamping meminggirkan persaingan antara pemain-pemain dalam kumpulan mahupun antara kumpulan, Ditinjau dari perspektif inilah, keunikan dan keistimewaan tarian Zapin Johor terserlah.
Tarian kuda kepang
Kuda kepang merupakan satu permainan tradisi yang amat digemari oleh penduduk Johor, terutamanya yang berketurunan Jawa. Kuda kepang berupa satu patung anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang dicorakwarnakan untuk menjadi lebih menarik.
Lazimnya 1 kumpulan mempunyai 10~15 penari. Salah seorang bertindak sebagai ketua (dayang). Pada awal, gerak geri penari adalah atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk mengawal. Tarian ini biasanya ditunjukkan di majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana sewaktu menyambut orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan.
Menurut kepercayaan, ia dikuasai oleh kuasa ghaib. Lantaran itu, 1 upacara perlu dilakukan sebelum bermain. Jika gagal, sesuatu yang tidak diingini akan menimpa. Upacara ini bermula dengan istiadat memuja roh. Setelah itu, bomoh akan menjampi untuk membuka gelanggang yang biasanya berukuran 40inci dengan 60inci.Bomoh juga akan menyediakan sajian untuk penunggu. Sajian itu ialah kelapa, beras, pisang masak, kemenyan, kain putih, jarum, benang, ayam putih, padi, telur dan bunga rampai. Bilangan minima penari ialah sembilan orang dan maksimanya 15 orang. Penari-penari ini biasanya terdiri daripada kaum lelaki sahaja. Tarian dicipta oleh guru yang mengajar kumpulan itu sendiri. Tarian-tarian yang selalu dipersembahkan ialah tarian Sola, Selendang,Pak Tani, Pucuk Rebung, Perjuangan, Mempertahankan Diri dan sebagainya. Lenggang-lenggok di dalam tarian ini dinamakan Lenggang Kiprah.
Satu perkara yang menarik di dalam tarian ini ialah kerana seringnya terdapat beberapa orang penari akan naik syeikh (mabuk) setelah persembahan rasmi tamat. Mereka yang “naik syeikh” ini boleh melakukan gerak geri aneh yang pasti tidak dapat dilakukan dalam keadaan siuman. Umpamanya, melompat setinggi enam atau tujuh kaki, meniti diatas sebatang buluh atau kayu licin ataupun seutas tali, juga mengupas kelapa dengan gigi. Semasa penari-penari sedang “naik syeikh” , bunyi-bunyian pengiring penari akan terus dimainkan. Jikalau tidak mereka naik berang dan menerkam pemain-pemain bunyi-bunyian tersebut.
Apabila gerak langkah penari-penari itu semakin liar dan tidak dapat dikawal, bomoh akan membaca mentera ke ubun-ubun atau telinga mereka setelah mereka ditangkap dan direbahkan oleh pegawal-pegawal yang cekap.Setelah itu mereka akan pulih dalam keadaan letih lesu. Adalah dipercayai bahawa selain dari hiburan, tarian kuda kepang juga boleh digunakan untuk menyembuhkan penyakit ganjil seperti dirasuk hantu,diresapi roh orang mati dan sebagainya.
Dipercayai juga bahawa kuda kepang ini hendaklah diletakkan disuatu tempat khusus.Jika diletakkan di sembarangan tempat roh kuda kepang itu akan mengamuk dan merosakkan pertunjukan-pertunjukan yang akan datang. Alat bunyi-bunyian yang sering mengiringi tarian kuda kepang ialah angklong (alat utama), gendang, gong ( berbentuk bulat dan diperbuat dari gangsa), kinong (seperti gong tetapi lebih kecil), jidor ( seperti rebana besar), soron kecil (dibuat dari tembaga yang dititik supaya melengkung dan lekuk seperti ruas buluh) dan bonang (dibuat dari tembaga,ditengahnya bonjol bulat kira-kira lapan garis pusat). Bagaimanapun tidak semua alat ini digunakan dalam satu-satu tarian. Pemilihannya terletak kepada budi bicara kumpulan-kumpulan berkenaan .Bentuk pakaiannya pula terserah kepada kehendak kumpulan tetapi ia hendaklah seragam.
No comments:
Post a Comment